Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015 diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Pembentangan yang mengambil masa dua hari itu akhirnya diluluskan setelah mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) turut menyokong  rang undang-undang itu.

Turut menyokong, kesemua 31 anggota dewan daripada PAS dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR-Guchil) Mohamad Roslan Puteh.

Satu kerusi yang dimiliki PAS iaitu DUN Chempaka kosong berikutan kematian  penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Feb lepas.

Rang Undang-undang setebal 47 muka surat itu dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam yang mengandungi 71 Seksyen dengan 6 bahagian merangkumi beberapa kesalahan hudud termasuk:

1. Sariqah (mencuri)
2. Hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan kekerasan)
3. Zina termasuk liwat
4. Qazaf (membuat tuduhan zina atau liwat)
5. Syurb (minum arak atau memabukkan)
6. Irtidad (murtad)

Enakmen ini seterusnya akan dibawa ke peringkat Dewan Rakyat sebagai Rang Undang-undang Persendirian oleh kerajaan negeri Kelantan yang akan diwakili oleh Ahli Parlimen PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Ia akan dibincangkan di dalam Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Parlimen untuk diluluskan sebelum dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.