Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) atau National Security Council Bill (NSC)


Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara, diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember 2015.

Kebimbangan timbul apabila Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh PM boleh mengisytiharkan 'Kawasan Keselamatan' dan dikatakan mengambil alih kuasa Yang Dipertuan Agong (YDP).

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung RUU itu berkata tidak timbul isu perdana menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang menjadi kebimbangan banyak pihak sebelum ini.


"Fasal 18 RUU memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytihar sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan dan bertujuan mengawal serta mengurus ancaman dan tindak balas di peringkat awal sebelum menjadi lebih teruk.

"Fasal ini diwujudkan bagi melengkapi Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan; bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa mengisytihar darurat mengikut nasihat Jemaah Menteri.

SOSMA 2012 dan POTA 2015

Dalam pada itu, apabila memperjelaskan tentang keperluan RUU itu sedangkan wujudnya undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015, Shahidan berkata tujuan kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dari segi fungsi dan tujuannya.

"Tujuan SOSMA adalah berkait mengenai prosedur dan siasatan berkaitan kesalahan keselamatan manakala POTA adalah untuk mencegah perlakuan pengganas yang beroperasi dari luar negara," jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa RUU itu lebih menjurus kepada peruntukan bagi pertubuhan Majlis Keselamatan Negara, pengisytiharan kawasan keselamatan dan pemberian kuasa khas kepada pasukan keselamatan.

RUU itu memperuntukkan bidang kuasa khas merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa untuk mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa untuk memeriksa dan menyita; kuasa untuk menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa untuk memeriksa orang bagi benda berbahaya dan kuasa untuk menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut.

TAFSIRAN KESELAMATAN DAN DARURAT YANG LONGGAR - PKR

"Dalam keadaan sekarang, tafsiran pula sangat longgar dan kabur, ia boleh digunakan untuk kepentingan politik dan ini tidak wajar.

"Sungguhpun penyokong BN yakin terhadap Perdana Menteri sekarang, tapi kita tak boleh pastikan ada ahli-ahli politik akan datang berkemungkinan menggunakannya untuk mempertahankan kedudukan peribadi," ujarnya.

Beliau berkata, penggunaan istilah kabur dalam RUU itu sebenarnya untuk memindahkan kuasa mengisytiharkan kuasa darurat kepada MKN.

"Sungguhpun kawasan keselamatan tidak dinamakan darurat, tapi semua kuasa yang ada kepada MKN itu ialah kuasa darurat.

"MKN berhak mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan keselamatan, maksudnya kawasan darurat lah. Dia boleh main dengan istilah dengan mengatakan ini kawasan keselamatan, tapi maksudnya sama," dakwanya lagi.

AMANAH INGIN CABAR DI MAHKAMAH

Amanah sedang mempertimbangkan untuk mencabar keabsahan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Pemudanya, Sany Hamzan berkata usaha itu untuk menghalang daripada Rang Undang-undang MKN itu daripada mengambil alih kuasa Yang Dipertuan Agong khususnya dalam pengisytiharan darurat.

“Kami juga menyeru untuk seluruh anggota Majlis Raja-Raja Melayu bersuara dan menolak undang-undang yang tidak masuk akal ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KUASA PM TIDAK DIKAWAL - MP K. TERENGGANU

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad melahirkan kebimbangannya apabila kuasa yang terletak di tangan seorang  Perdana Menteri teramat besar dan luas implikasinya dan terbuka luas untuk disalah guna.

“Siapa lagi yang tinggal untuk mengawal kuasa mutlak Perdana Menteri?” soalnya.

RUU MKN 20015 dianggap  ultra vires kepada  Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan dan  di dalam Seksyen 18 RUU MKN 2015. Artikel 150 (1) Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana ia jelas memberikan kuasa proklamasi darurat pada Yang Di Pertuan Agong namun di bawah Seksyen 18 (1) RUU MKN telah  memindahkan kuasa tersebut kepada Perdana Menteri iaitu ahli politik yang mengetuai parti politik. Perintah eksekutif  Majlis di bawah Seksyen 19 RUU MKN  juga ultra vires Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan.

JANGAN DISALAHGUNA - KU LI

Rakyat akan menerima Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 seadanya jika ia dilaksanakan sebaiknya dan bukan untuk disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau secara peribadi menyifatkan jika undang-undang itu dilaksanakan dan tidak mempunyai penyalahgunaan, masyarakat akan menerimanya.

"Namun jika ia dirangka untuk matlamat lain, ia akan menjadi persoalan besar bukan sahaja kepada kerajaan, tapi mengenai masa hadapan negara," tambah Tengku Razaleigh Hamzah yang senang dikenali sebagai Ku Li,"

RAKSASA CIPTAAN KERAJAAN - AZIZ BARI

Pakar Undang-Undang, Aziz Bari menyifatkan usaha meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai terdesak kerana ingin menguasai negara tanpa melalui proses Perlembagaan.

“‘Raksasa’ yang dicipta kerajaan itu semata-mata untuk mengambil kuasa penuh terhadap kabinet,” katanya sambil menambah, amalan kesetiaan kepada parti, bukannya rakyat antara sebab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong RUU itu diluluskan.

Beliau juga mempersoal RUU itu yang tidak jelas dalam menerangkan secara terperinci mengenai kawasan keselamatan yang menjadi salah satu intipati.

“Siapa berhak untuk menentukan di mana kawasan keselamatan itu? Ia boleh jadi di Parlimen, Dataran Merdeka, ia boleh berlaku di mana-mana,”

CUMA ISTILAH - MAHATHIR

Bekas Perdana Menteri itu berkata dengan adanya kuasa tersebut itu juga, ia membolehkan Perdana Menteri mengistiharkan kononnya berlakunya darurat dan terdapat ancaman keselamatan.

“Dulu cuma nak sebut ini darurat, cuma Agong sahaja boleh sebut. Sekarang ini Agong punya kuasa itu dia pindah kepada diri dia. Dia ambil kuasa Agong. Dia boleh isytihar darurat kononnya ancaman keselamatan.

“Siapa-siapa yang dianggap bertindak mensabotaj negara, boleh ditangkap. Tapi dia lupa satu, kalau kalah Pilihanraya ke-14 ini, yang jadi kerajaan ialah parti lawan, dia tangkap habis semua,” katanya.

KESIMPULAN

Perisytiharan Darurat mahupun 'Kawasan Keselamatan' biarlah pada Agong bukan pada PM agar tidak disalahgunakan.