Kuasa Mahkamah Syariah Mudah Dicabar

Kekecohan berita mengenai tiga lelaki transgender yang mencabar hukuman yang telah dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah Syariah Negeri Sembilan baru-baru ini membuka mata ramai pihak. Secara tidak langsung membongkar semula banyak kes lain yang disifatkan meragui fungsi dan kedudukan undang-undang syariah di negara ini.

Masalah ini sebenarnya sudah lama termasuklah isu undang-undang hudud yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kerana isu utamanya ialah; tiada undang-undang yang lebih tinggi daripada Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Syariah tidak punya kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan dan Undang-undang Hudud tidak boleh lebih tinggi daripada Perlembagaan Persekutuan.


Bidang Kuasa Terhad

Perkara tersebut diakui oleh Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, dalam isu melibatkan transgender tersebut, ia menunjukkan kepada umum dengan jelas bahawa keputusan Mahkamah Syariah negeri secara ‘automatik’ boleh menjadi tidak sah apabila didapati bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang syariah atau bidang kuasa agama Islam diletakkan di bawah kuasa Sultan atau negeri. Sempadan kuasanya tidak luas memandangkan ia masih tertakluk di bawah rangkuman undang-undang yang lebih tinggi iaitu mengikut Perlembagaan Persekutuan,” ujar Mohd Naim.

Jelas beliau, Mahkamah Syariah di negara ini sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan.

"Kita perlu bertanya, adakah perubahan dasar seterusnya boleh dibuat dan adakah Parlimen sedia memberi kuasa yang lebih tinggi kepada Mahkamah Syariah?” tanya Mohd Naim.

Keterbatasan

Keterbatasan bidang kuasa Mahkamah Syariah turut diulas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia, Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Menurut beliau, tanggapan umum tentang fungsi Mahkamah Syariah sering berkisar pada isu perkahwinan dan cerai. Kredibiliti penghakimannya juga pada dasarnya ‘belum menyerlah’ dalam menangani isu yang melibatkan kes kesalahan syarak apatah lagi jenayah pada tahap tertentu.

“Mahkamah Syariah buat masa ini tidak diberi kuasa untuk membincangkan isu-isu fundamental, kerana semua itu tentunya akan dikendalikan Mahkamah Sivil.

Dalam isu transgender yang kecoh diperkatakan minggu lalu, Mohamed Azam berpendapat, seseorang hakim perlu kembali kepada dasar sesebuah penilaian dalam membuat keputusan iaitu mengambil kira setiap sesuatu dengan memandang hal-hal tersurat dan tersirat.

Ujar Mohamed Azam; “Pada satu bahagian, hakim Mahkamah Rayuan itu melihat pada alasan laporan perubatan sahaja ketika membuat keputusan. Tetapi adakah hakim itu menilai dari perspektif yang lebih besar tentang perlakuan, kesalahan dan kesannya pada pelaku serta masyarakat umum?”.

Memperkasa Fungsi

Usaha meneliti semula had hukuman Mahkamah Syariah negara ini terutama Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah perlu memandangkan ia masih rendah berbanding Mahkamah Sivil.

Turut menunggu pembaikan adalah aspek perjawatan dan emolumen hakim-hakim Mahkamah Syariah supaya setaraf dengan Mahkamah Sivil. Sejurus semua ini membuahkan hasil, Mahkamah Syariah akan memasuki suatu lembaran baru di dalam sejarah penubuhannya.

Pembikinan imej dan fungsi Mahkamah Syariah yang lebih baik pada masa akan datang tentunya akan melibatkan komitmen berterusan pihak jabatan kemajuan agama, kerajaan-kerajaan negeri, kementerian dan juga pemerintah tertinggi negeri.

Muhyiddin: Nilai Semula Keputusan

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menghormati keputusan tersebut, namun menurut beliau, hal itu perlu dinilai semula.

Muhyiddin berkata, walaupun beliau bukan pakar dalam perkara tersebut, tindakan menilai semula itu penting memandangkan ia meninggalkan implikasi besar dalam masyarakat.

Muhyiddin bagaimanapun menyerahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan untuk membuat pertimbangan selanjutnya.

Kerajaan Negeri Sembilan Fail Rayuan

Kerajaan Negeri Sembilan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin berhubung keputusan Mahkamah Rayuan bahawa undang-undang jenayah syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki berpakaian wanita di tempat awam melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan namun berpendapat kes ini perlu didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan kerana Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) itu perlu dilihat dari segi aspek agama, bukannya aspek-aspek yang lain.

"Jadi, kita akan tekankan di situ bahawa ini adalah hukum yang terbitnya dari sumber agama. Jadi, saya akan failkan secepat mungkin dan saya akan membawa juga Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebagai pencelah.

"Saya harap semua Majlis Agama Islam di negeri-negeri yang lain akan bersama-sama untuk mencelah dalam rayuan kita," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kesediaan dan Keberanian

Adakah Kerajaan bersedia untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah?
Adakah Kerajaan berani untuk membenarkan perlaksanaan Undang-undang Hudud oleh Kelantan?