Selaras dengan jaminan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah menyerahkan permohonan untuk mendaftar sebuah parti baru kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).


Muhyidin mengumumkan nama parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terbuka kepada semua warganegara berstatus pribumi namun golongan bukan bumiputera boleh mendaftar sebagai ahli bersekutu.

 Jawatankuasa Penaja Parti Bersatu

Tan Sri Muhyiddin akan berperanan sebagai Presiden Parti dan Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Parti. Selain mereka, ahli lain yang terlibat ialah:
  • Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Menteri Besar Kedah
  • Anina Saadudin; bekas Wanita UMNO Langkawi
  • Kamarul Azman Habibur Rahman; Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) dan bekas ketua UMNO cawangan Teluk Kemang
  • Akhramsyah Muammar Ubaidah; Anak Tan Sri Sanusi Junid, bekas Ketua Pemuda UMNO Bendang Baru
  • Syed Saddiq; pemimpin kumpulan belia Challenger, Pendebat Terbaik Asian British Parliamentary (ABP) Debating Championship dan United Asian Debating Championship (UADC)

 Agenda dan Matlamat Parti Bersatu

Berikut adalah agenda serta matlamat utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
  1. Memperjuangkan hak semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama
  2. Melakukan reformasi institusi secara menyeluruh untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, beramanah dan berintegriti
  3. Menegakkan Islam sebagai agama persekutuan dan menghormati hak bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman.
  4. Mempertahankan hak istimewa orang Melayu, anak Sabah dan Sarawak serta hak yang sah semua kaum
  5. Memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing
  6. Memelihara hak - hak asasi rakyat seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan menjunjung nilai - nilai sejagat yang selari dengan agama Islam
  7. Melakukan reformasi institusi yang mneyeluruh dan mengukuhkan institusi demokrasi
  8. Memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mewujudkan amalan tadbir urus yang baik
  9. Memperjuangkan keadilan sosial
  10. Mengagihkan kekayaan negara secara adil dan saksama
  11. Membela keadilan rakyat dan juga membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama
  12. Memperjuangkan hak untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti untuk semua rakyat
  13. Memupuk perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama
  14. Bersatu akan berusaha untuk mewujudkan penyatuan seluruh rakyat Malaysia dengan tujuan untuk menyelamatkan Malaysia
  Hubungan dan Kerjasama

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan sanggup untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan mana - mana parti politik dan badan - badan bukan kerajaan yang mempunyai prinsip dan matlamat perjuangan yang sama.