Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (ASWAJA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), ISMA dan PAS mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh intelektual Melayu Dr Kassim Ahmad dalam satu seminar yang diadakan di Putrajaya pada Ahad.
Presiden ASWAJA, Zamihan Mat Zin berkata, kenyataan Kassim berhubung pendewaan terhadap Nabi Muhammad, ingin mentafsirkan semula al-Quran dan mengkritik “kasta paderi” dalam Islam boleh mendorong kepada kemurtadan.
Kassim dilaporkan antaranya mengkritik “kasta paderi” yang dipanggil ulama, pendewaan terhadap Nabi Muhammad dan berkata rambut bukan aurat wanita.
Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian turut dihadiri oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perkasa mendesak pihak Jakim segera menyiasat terhadap dakwaan Kassim Ahmad yang mempersoalkan bagaimana masyarakat Islam mendewa-dewakan Naib Muhammad, rabut wanita bukan aurat dan wujud kasta paderi.
Menurut Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, Kassim Ahmad bukannya cendekiawan yang mendalami ilmu Islam.
“Perkasa mendesak Jakim menyiasat segera dengan mengambil bukti dan keterangan daripada mereka yang hadiri seminar Pemikiran Kassim Ahmad Di Yayasan Perdana, Putrajaya semalam,” katanya.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Kassim Ahmad merupakan seorang idealis yang sesat dan mempunyai pemikiran kolot.
“Mempertikaikan hadis boleh memusnahkan ajaran Islam keseluruhannya, bagaimana dia boleh dianggap sebagai idealis? Sesat dan kolot. Tak perlu disanjung,” katanya kepada ISMAweb.net.
Beliau berkata demikian mengulas penganjuran Seminar Pemikiran Pak Kassim: Satu Penilaian di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada hari Sabtu lalu.
Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mempersoalkan bagaimana seminar yang membawa kepada pemikiran songsang lagi sesat boleh dibenarkan untuk diadakan, lebih-lebih lagi oleh sebuah badan yang berkaitan kerajaan.
Ketua Penerangannya, Ustaz Khairuddin Aman Razali berkata penganjuran Seminar Pemikiran Kassim Ahmad di Putrajaya semalam sepatutnya tidak perlu memandangkan jelas Kassim Ahmad itu seorang yang menolak hadis, yang bertentangan dengan pegangan umat Islam keseluruhannya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penganjuran seminar tersebut di Putrajaya, pada 15 dan 16 Feb lalu, yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Hadis: Satu Penilaian Semula
Kassim Ahmad pada 1986 mencetuskan kegemparan apabila tampil dengan Hadis: Satu Penilaian Semula yang amat kritikal terhadap Hadis - sumber hukum kedua tertinggi dalam Islam selepas al-Quran.
Selepas perdebatan demi perdebatan dengan sarjana dan NGO Islam, termasuk di media, kerajaan pada Julai 1986 mengharamkan buku itu manakala Majlis Fatwa Kebangsaan mendakwa ia mengandungi fahaman bertentangan dengan akidah.
Buku itu, antaranya didakwa terpengaruh dengan saintis Mesir yang berhijrah ke Amerika Syarikat Dr Rashad Khalifa yang dibunuh pada 1990 selepas mengaku sebagai rasul.
Bukan itu sahaja, sebuah lagi bukunya Dilema Umat Islam-Antara Hadis dan al-Quran menerima nasib sama
Usaha Kassim menerbitkan al-Quran terjemahan sendiri berjudul Bacaan (juga diharamkan pada 1995) bersama sahabatnya, seorang warganegara Singapura Osman Ali, juga menimbulkan keresahan banyak pihak.
Kassim bagaimanapun menafikan bersikap anti-Hadis tetapi kritikal kepadanya serta menerima kira-kira 40 peratus hadis yang diriwayatkan, yang dianggapnya tidak bertentangan dengan al-Quran.
Islamic Renaissance
Buku terbarunya Islamic Renaissance keluaran penerbit Amerika Syarikat Branbowpress dilancarkan di Kuala Lumpur pada Februari lalu.
Buku baru kira-kira 250 halaman itu antaranya menegaskan pandangannya yang kritikal terhadap hadis menggunakan method saintifik, termasuk teori "Kod 19" yang dipelopori Rashad.
Teori itu antaranya berpendapat jumlah perkataan dalam al-Quran disusun berdasarkan 19 perkataan atau gandaannya dengan tepat.
Islamic Renaissance juga turut menyentuh perkembangan semasa politik, antaranya dengan beranggapan PAS yang "konservatif", DAP yang "didominasi Cina" PRK yang "Machiavellian"
tidak akan dapat menyelamatkan kepimpinan Melayu di negara ini.
Selain tulisan berbentuk sastera dan sejarah Melayu, buku-buku lain Kassim berkaitan agama dan perjalanan rohaninya termasuk Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik, Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme kepada Islam dan Universiti Kedua.
Majlis Fatwa
Jawatankuasa Fatwa 'Majlis Agama Islam dan "Adat Melayu Perak' Darul Ridzuan yang bersidang pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995 memfatwakan bahawa mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', (yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad), adalah murtad.
Fatwa yang kemudiannya diwartakan pada 15 Feb, 1996 itu juga melarang mana-mana orang Islam mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku tersebut.
[Rujuk di sini]
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/gerakan-anti-hadis-0
3 Comments
Sesungguhnya kamu terlalu jahil memperkatakan tentang agama. Islam dtg dengan kedua sumber . Jgn sehingga kamu menjadi pemusnah agama . Jahil utk kamu semoga kamu diberikan hidayah
ReplyDeleteSalam kenal terima kasih infonya,sangat bagus sekali
ReplyDeleteInfo yang menarik..salam kenal dari blogger nganjuk..
ReplyDeletePost a Comment