Antara Ultraman King dan Bruce Almighty
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan sebuah komik Ultraman kerana terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu menyamakan watak itu dengan Allah. Ia dikatakan boleh menyebabkan kekeliruan kepada kanak-kanak beragama Islam. Ia bertentangan dengan tauhid yang diajar dan dianuti oleh umat Islam — bahawa Allah tidak menyerupai mana-mana makhluk ciptaanNya.
KDN dalam satu kenyataan mengesahkan tindakan ke atas komik terbitan Resign Publications itu dibuat kerana buku itu menggunakan watak Ultraman King yang digambarkan seperti Allah. Kenyataan itu juga menyebut watak Ultraman tidak haram tetapi yang haram adalah komik terbitan edisi itu sahaja.
Kontroversi penerbitan seperti komik Ultraman ini bukanlah isu yang pertama seumpamanya. Beberapa tahun sebelum ini, kita berdepan dengan kontroversi tayangan filem Bruce Almighty dan sekuelnya, Evan Almighty.
Kedua-dua filem itu pada awalnya lulus tapisan Lembaga Penapisan Filem tetapi diheret ke dalam kontroversi kerana ada pihak yang mendesak filem itu diharamkan tayangannya di negara ini. Antara yang membuat desakan itu termasuklah menteri kabinet yang menjaga hal ehwal agama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin pada akhir Julai 2003 menggesa Bruce Almighty diharamkan kerana filem itu "tidak sesuai" dan sensitif kepada umat Islam.
"Kita tidak boleh menyamakan diri dengan Allah biarpun hanya sebagai jenaka," katanya. Kenyataannya yang dipetik oleh Bernama itu jadi berita dunia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung dalam reaksinya ketika itu berkata generasi
Malaysia hari ini tidak boleh diperkecilkan pemikiran mereka dan mereka tahu membezakan antara komedi dan isu yang serius.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin (sekarang Tan Sri) ketika itu berkata, beliau lebih bimbangkan orang Melayu yang menonton Misteri Nusantara di TV3 berbanding Bruce Almighty. Katanya, siri televisyen yang memaparkan amalan dan kejadian ganjil itu mempunyai elemen tahyul. Ia sebuah siri televisyen yang cukup popular dan pernah mencecah tontonan sehingga tiga juta orang.
Kontroversi Bruce Almighty terheret sampai ke Perdana Menteri, ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Dalam Negeri. Filem itu kemudian lulus untuk tayangan — masih dengan klasifikasi 18PL seperti yang diluluskan pada awalnya — selepas dinilai semula oleh pegawai Jakim dan LPF.
Empat tahun berselang, kontroversi sama berulang — kali ini melibatkan filem Evan Almighty. Desakan haram itu dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan alasan filem itu "memperlekehkan Allah dan Nabi Noh."
Zainuddin Maidin atau Zam yang ketika itu sudah jadi Menteri Penerangan dalam reaksinya menyeru umat Islam supaya lebih bijaksana dalam menangani isu-isu agama dan tidak cepat melatah apabila berdepan dengan sesuatu yang mencabar kepercayaan mereka.
"Orang Islam tidak patut jadi lemah dengan bertindak balas keterlaluan terhadap filem seperti itu," katanya seperti dipetik oleh media.
Tambahnya, kalau orang Islam bimbang anak-anak mereka akan terpengaruh, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab mereka untuk menghalang anak-anak mereka daripada menontonnya.
Kata beliau lagi, mengharamkan filem bukan penyelesaian kepada masalah kerana masyarakat negara ini berbilang kaum dan berbilang fahaman. Kalau diharamkan sekalipun, orang masih ada cara lain untuk menontonnya. Orang juga boleh memilih untuk tidak menonton filem itu tetapi filem lain.
Apa yang dikatakan oleh Zam itu betul empat tahun lalu dan betul juga sekarang. Kenapa Negara harus terbeban dalam hal-hal seperti ini? Apakah peranan dan tanggungjawab individu melindungi kepercayaannya sendiri? Apakah begitu rapuh iman umat Islam sehingga boleh runtuh dengan hal-hal seperti ini?
Isu penerbitan komik Ultraman ini pun hanyalah masalah penterjemahan dan — kita bersangka baik — mungkin tidak ada muslihat tersembunyi berkait dengan isu kalimah Allah. Inilah masalahnya: Siapa suruh tidak mahu belajar bahasa dengan baik? Siapa suruh buat kerja cincai terjemah guna mesin dan jimat belanja tidak pakai khidmat penterjemah yang terlatih?
Terlepas daripada isu ini, kita harus sedar bahawa kontroversi seperti ini tidak berhenti setakat ini saja. Akan ada hal-hal yang sama seumpamanya berbangkit pada masa akan datang. Ini bukan isu yang terakhir, sama seperti mana kita terheret ke dalam kontroversi Evan Almighty tujuh tahun lalu dan Bruce Almighty 10 tahun lalu.
Tetapi apakah standard yang digunapakai oleh KDN dalam membuat keputusan seperti itu? Sejauh mana KDN konsisten dalam tindakannya? Tidak dapat tidak orang bertanya: Apakah ada bezanya isu asas dalam kontroversi Bruce Almighty dan Evan Almighty itu dengan komik Ultraman The Ultra Power ini?
Noor Azam Shairi - Astro Awani
7 Comments
umat islam seharusnya lebih cerdas dalam menonton film,di dalam film itu bnyk pesan moral yg bisa di petik.
ReplyDeletejom kunjungi my blog : media2give.blogspot.com :)
kalau menurut Q sich sekarang tergantung orang tua nya z gimana mengawasi,mendidik anak dalam menonton acara tv.Dan di sekolah jg sudah di ajarkan sama pengajarnya mana yang harus di tiru dan tidak.
ReplyDeletesalam kenal z jom.. :d
Masa tahun 90an dulu pun ada samakan ultraman dengan tuhan, masa tu zumal selalu beli komik.
ReplyDeleteSome one is cyber bullying me using this site please stop
ReplyDeletehttp://caitlincarmichael.com
ReplyDeleteYou are hurting me please stop this Caitlin's site is not for this please syamstyles webmaster trace the people doing this it hurts please
DeleteI do not find it funny and just want them to stop bullying me, everyday I see this stuff it hurts me more I think I am not upset that you are doing this
(k)
ReplyDeletePost a Comment