KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada Isnin, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar dari parti UMNO.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal kini berdiri sebagai ADUN bebas.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta.

Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Kijal," katanya dalam surat tersebut.

Seorang lagi ADUN dari UMNO, iaitu Ghazali Taib yang merupakan ADUN Ajil juga telah isytihar keluar dari parti tersebut.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Ahmad Said dalam satu email kepada Astro AWANI.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin.

Beliau digantikan oleh ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu majlis angkat sumpah.

Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi.

Pada hari ini juga, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi Roslee Daud mengisytiharkan keluar daripada Umno dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Dengan keputusan Roslee menyertai Ahmad dan Ghazali sebagai wakil Bebas, Barisan Nasional kini mempunyai 14 kerusi DUN diikuti PAS (14), PKR (satu).


Terkini:
Datuk Ahmad Said dan yang lain telah menyertai semula UMNO.
Pergolakan Terengganu dianggap selesai.