Pada umur hanya 17 tahun, Malala merupakan penerima Nobel yang termuda.

Malala merasa bangga dengan anugerah yang diterimanya dan menjadikan beliau lebih kuat serta berani.

Malala Yousafzai seorang pejuang pendidikan kanak-kanak dari Pakistan dan Kailash Satyarthi seorang pelobi hak asasi kanak-kanak dari India secara bersama memenangi Hadiah Nobel Keamanan 2014.


Malala dan Satyarthi akan dijemput untuk menghadiri majlis penganugerahan di Oslo, Norway dan bakal menerima hadiah pingat dan wang tunai $1.4 juta (£860,000 bersamaan RM4.5 juta).

Malala dinamakan sebagai salah seorang yang paling berpengaruh bagi tahun 2013 oleh majalah TIME dan menerima Anugerah Hak Asasi Manusia, Sakharov oleh Kesatuan Eropah (EU).

Cerita mengenai Malala bermula seawal apabila beliau menulis sebuah diari berbahasa Urdu berkaitan kehidupan beliau di bawah pemerintahan Taliban di wilayah utara Pakistan yang ketika itu mengharamkan kanak-kanak perempuan bersekolah.

Malala ditembak di kepala oleh Taliban pada Oktober 2012 semasa berada di dalam bas sekolah. Beliau yang lahir pada tahun 1997 di Pakistan kini menetap di Birmingham, UK.

Jawatankuasa Hadiah Nobel menyanjung tinggi usaha mereka di dalam 'perjuangan menentang penindasan terhadap golongan muda dan kanak-kanak'