Akhirnya, impian Sultan Johor menjadi kenyataan. Sultan Johor kini merupakan pemilik trak 'Mack' termahal di dunia. 

Trak tersebut mengambil masa setahun untuk dihasilkan dan tenaga kerja 30 orang pakar diperlukan bagi membina trak berkenaan serta memastikan kesempurnaannya. Kerangka Trak Super Liner milik Sultan Johor dibangunkan di kilang Mack di Brisbane, Australia sebelum di serahkan kepada pasukan penyesuaian di Viking Trucks.

Majlis serahan trak 'Mack' paling mahal di dunia itu diadakan di Dataran King George di Brisbane, pada Khamis lalu.
Harga trak tersebut tidak diketahui, namun sumber menyatakan ia mungkin mencecah nilai sehingga RM1.4 juta.

Menurut Naib Presiden Mack Trucks Australia, Dean Bestwick, trak tersebut mempunyai elemen khusus serta eksklusif dan tidak akan didapati di dalam trak Mack yang lain.

Antara ciri-ciri eksklusif yang dimaksudkan itu ialah enam kamera litar tutup (CCTV), dua set televisyen, dapur barbeku dan katil kelamin, selain tempat duduk yang dijahit dengan benang emas.

Trak itu akan mula digunakan dalam satu majlis amal hujung bulan ini yang setakat ini belum diumumkan.