Tidak lama lagi rakyat Malaysia akan berpeluang menggunakan petrol yang lebih bersih. Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, CEO dan juga Presiden Petronas mengumumkan bahawa Petronas akan melancarkan jualan Petrol RON 97 dengan standard Euro 4M pada bulan September ini.

Pada November 2014, pihak MITI menyatakan bahawa syarikat-syarikat minyak dibenarkan untuk menjual bahan bakar berstandard Euro 4 dan Euro 5 lebih awal daripada apa yang telah diwartakan iaitu: Euro 4 RON 97 pada September 2015, Euro 4 RON 95 pada Oktober 2018, Euro 5 diesel pada September 2020 serta Euro 5 RON 95 & Euro 5 RON 97 pada September 2025.

Perkara ini telah pun dimulakan oleh BHPetrol dengan pengenalan Euro 5 diesel di beberapa tempat tertentu pada tahun lepas.

Standard bahan bakar Euro merupakan standard yang digunapakai oleh Kesatuan Eropah bagi mengawal kadar pencemaran bahan bakar. Ia terdiri daripada aras Euro 1 (1992) sehingga Euro 6 (2014). Bahan bakar yang dijual di Malaysia ketika ini hanya menepati piawai Euro 2 sahaja. 

Syarikat-syarikat pengeluar kereta dan juga MAA telah lama melobi pihak kerajaan agar menyegerakan penggunaan bahan bakar yang lebih bersih serta berkualiti tinggi dan membolehkan enjin-enijn berteknologi terkini dibawa masuk ke Malaysia.

Komplek kemudahan Petronas di Pengerang hanya mampu menghasilkan petrol Euro 4 dalam tempoh beberapa tahun lagi, dan ini bermaksud stok Euro 4 akan diimport.