Perbuatan bodoh, tahyul dan memalukan yang dilakukan kumpulan bomoh tersebut telah memberikan imej buruk kepada masyarakat negara ini. Pelbagai media antarabangsa melapor cerita 'bomoh kartun' di KLIA seakan mengaitkan itu dengan budaya kita. Al-Arabiya ini melaporkan bahawa sihir adalah satu jalan yang diambil oleh rakyat Malaysia dalam kes MH370. Justeru itu Islam melarang karut marut dan tahyul yang membawa kepada syirik, bodoh lagi menjatuhkan nilai diri sebagai manusia berakal.

Dr. MAZA



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelar usaha pihak yang mendapatkan khidmat bomoh dalam mencari pesawat MH370 yang secara jelas bertentangan dengan Islam.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau bantuan bomoh adalah harus di dalam Islam, namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.

Katanya, Jakim terlebih dahulu mengeluarkan garis panduan perbomohan menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan boleh diakses melalui laman web Jakim di www.islam.gov.my.


"Tatkala pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa dengan pelbagai jenis teknologi dan aset sama ada dari negara kita dan negara luar yang sudi menghulurkan tangan, kita masih menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk dalam tempoh tiga hari ini.

"Namun kita tidak boleh berputus asa dan wajib terus memohon pertolongan Allah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tiga pengamal perubatan tradisional menawarkan diri membantu mengesan pesawat MH370.

Mereka ialah Mohd. Rodhi Ahmad, 74, atau dikenali sebagai Tok Janggut Bomoh Tauhid dan rakannya, Zainal Hamid, 54, dikenali sebagai Bomoh Warisan dari Permatang Binjai, Butterworth, Pulau Pinang.


Seorang lagi ialah Mahaguru Ibrahim Mat Zin yang mendakwa pesawat MH370 yang dilaporkan hilang masih tergantung di atas paras Laut China Selatan berhampiran Vietnam.

Mengulas lanjut, Othman menjelaskan, dalam satu mesyuarat panel kajian akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004, memutuskan rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan akidah Islam kerana mengandungi unsur syirik, khurafat serta penipuan.

Jika dilihat dari sudut alat yang digunakan Ibrahim pula, kata beliau, menggambarkan bahawa 'raja bomoh' tersebut menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.