Jata Negara Ukraine |
CATATAN HARI MINGGU: REFERENDUM CRIMEA—APA PENGAJARAN UNTUK KITA?
Pada 9 November 1989, runtuhnya Tembok Berlin menandakan berakhirnya Perang Dingin yang selama ini membataskan pengaruh komunis dan Barat. Dengan berakhirnya Perang Dingin ini, banyak negara Kesatuan Soviet mencapai kemerdekaannya. Antaranya ialah Ukraine yang mengisytiharkan kemerdekaannya pada 24 Ogos 1991.
Ukraine mempunyai penduduk seramai 45 juta orang yang mana 77.8% adalah terdiri dari etnik Ukraine, Rusia (17%) dan lain-lainnya etnik Belarus, Romania, Bulgaria dan Tatar. Majoriti rakyat Ukraine adalah penganut Kristian Ortodoks. Bangsa Tatar pula adalah beragama Islam yang majoritinya 300 ribu orang tinggal menetap di Crimea dan 250 ribu di Kiev, ibu negara Ukraine.
Krisis Politik Ukraine
Rakyat Ukraine ini terpisah kepada dua entiti politik. Mereka yang tinggal di sebelah utara dan barat Ukraine lebih berminat untuk menyertai Kesatuan Eropah, manakala yang tinggal di sebelah timur dan selatan pula lebih berminat untuk merapatkan hubungan dengan Rusia. Justeru perpecahan ini, sejak mencapai kemerdekaannya, politik Ukraine tidak pernah aman.
Kemuncaknya ialah Revolusi Orange pada tahun 2004 yang menjatuhkan Victor Yanukovych, pemimpin pro-Rusia dari jawatannya dan digantikan dengan Yulia Tymoshenko, pemimpin dari Barat Ukraine .
Pada tahun 2010, Yanukovych pula dilantik menjadi Presiden Ukraine. Setelah berkuasa, musuh politiknya Yulia Tymoshenko didakwa atas tuduhan menyalah gunakan kuasa dalam jual beli gas dengan Rusia dan dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun oleh mahkamah. Rakyat Ukraine marah dengan keputusan ini kerana menganggapnya sebagai konspirasi politik, tetapi tidak berani melakukan bantahan. Keberanian ini hanya muncul apabila Yakunovych enggan menandatangani kesediaan Ukraine untuk menyertai Kesatuan Eropah pada 21 November 2013.
Manakala rakyat Ukraine di sebelah Kiev menentang Yanukovych, rakyat Ukraine yang tinggal di sebelah timur dan selatan pula, khususnya Crimea menyokong beliau. Dengan demonstrasi yang semakin runcing, maka Kesatuan Eropah campur tangan menyokong penentang Yanukovych, manakala Rusia pula menghulur tangan menyokong Yanukovych. Dengan campur tangan dua kuasa luar ini, politik Ukraine menjadi cukup kacau sehingga akhirnya menjatuhkan Yanukovych dari tampuk kuasanya.
Kejatuhan Yanukovych mendorong Rusia menduduki Crimea atas alasan mempertahankan orang Crimea berbangsa Rusia. Pada 27 Februari 2014, askar Rusia merampas bangunan parlimen Crimea dan menaikkan bendera Rusia di bangunan-bangunan kerajaan.
Tidak cukup dengan itu, pada 11 Mac 2014, Majlis Tertinggi Crimea di Simferopol (ibu kota Crimea) dan Majlis Bandaraya Sevastopol (tempat pangkalan utama armada Tentera Laut Rusia di Laut Hitam) meluluskan resolusi untuk mengadakan referendum bagi keluar dari Ukraine. Resolusi ini disokong dengan 78 undi menyokong dan 8 berkecuali.
Rakyat Crimea Memilih
Hasil dari resolusi tersebut, maka pada hari ini 16 Mac 2014, rakyat Crimea seramai 2 juta orang yang terdiri dari 58.5% Rusia, 24.4% Ukranine dan 12.1% Tatar akan keluar mengundi memilih satu dari dua pilihan berikut, iaitu sama ada untuk menyertai Rusia, atau memilih kembali kepada Perlembagaan 1992, iaitu Crimea yang merdeka. Tidak ada pilihan untuk mengekalkan status quo, iaitu menjadi sebahagian dari Ukraine. Dalam referendum hari ini, sesiapa sahaja rakyat Crimea yang berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai kad pengenalan diri boleh keluar mengundi.
Reaksi Terhadap Referendum?
Tindakan Crimea mengadakan referendum untuk keluar dari Ukraine bertentangan dengan Undang-Undang Ukraine dan antarabangsa. Ini kerana referendum itu tidak melibatkan rakyat Ukraine seluruhnya dan juga diadakan dalam keadaan rakyat Crimea diugut dengan senjata Rusia dan diadakan dalam keadaan berlakunya keganasan. Kerajaan AS dan pemimpin negara G7 tidak mengiktiraf referendum ini dengan menyatakan referendum tersebut "would have no legal effect" dan "would have no moral force."
Bagaimanapun Rusia dan Crimea menyatakan referendum ini adalah sah dengan mengambil contoh pengiktirafan PBB kepada hak untuk berpemerintahan sendiri Kosovo dan juga keputusan ICJ yang mengesahkan hak Kosovo untuk mengisytiharkan kemerdekaannya secara unilateral dari Serbia.
Bagi masyarakat Tatar pula, mereka telah mengumumkan untuk memboikot referendum ini dan melaungkan di Simferopol, ibu kota Crimea, "Ukraine is not Russia."
Keputusan referendum ini sudah jelas. Rakyat Crimea akan mengundi untuk menyertai Rusia. Ancaman AS dan negara Barat tidak akan ke mana. Mereka tidak berani melawan Rusia. Paling jauh pun yang AS dan sekutunya boleh pergi ialah mengadakan sekatan ekonomi.
Pada tahun 2008 semasa Putin menghantar askarnya ke Georgia untuk mempertahankan wilayah Abkhasia dan Ossetia Selatan yang pro-Rusia, begini jugalah kata AS dan negara Barat, tetapi lima tahun kemudian dua wilayah ini dengan mudah sahaja diambil oleh Rusia.
Apa Pengajarannya?
Banyak yang boleh kita pelajari dari kisah ini. Kita tidak mahu hidup susah seperti mereka. Kita mahu kehidupan yang sejahtera dan aman.
Oleh itu, pesan saya jangan kita berpecah semata-mata kerana perbezaan politik. Jangan kita memisahkan kesatuan negara kita walaupun kita bergaduh sekali pun. Jangan mendiskriminasikan mana-mana wilayah dalam negara ini. Jangan kita saling membenci antara kaum kerana kita semua adalah rakyat negara kita. Jangan kita menyimpan dendam politik sehingga negara hancur. Jangan kita percaya kepada kuasa luar untuk menjaga kedaulatan kita. Jangan kita berebut kuasa sehingga kedaulatan negara tergadai.
Sesungguhnya negara kita adalah tanggungjawab kita.
Prof. Madya Dato' Dr. Mohammad Agus Yusoff
Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
1 Comments
Ordinary people are killed in Ukraine for the fact that they are Russian. Tanks, planes, heavy machinery, directed against the people. Surprised that all media show and lying opposite picture. here's true from the event http://pro-tv.net/4-vesti.html you will see the technique against the people, Where residents to take tanks - think? This is all due to the fact that people did not recognize the coup in the country by the Nazis.
ReplyDeletePost a Comment