KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini disifatkan sudah tidak lagi peduli dan memberi sokongan kepada masa depan syarikat pengeluar kereta pertama negara, Proton Holdings Berhad (PROTON).

Penasihat PROTON, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, itu menjadi salah satu punca kegagalan PROTON bersaing dengan syarikat kereta lain termasuk dari Perodua.

"Pelanggan tidak peduli apa jadi kepada negara. Mereka hendak harga yang murah dan barangan terbaik dan kita dapati sekarang pun sukar bertanding dengan Perodua.
 
"Perodua bukan mengeluarkan kereta tempatan, mereka mengeluarkan kereta Jepun yang dipasang di Malaysia,'' katanya.

Tun Dr. Mahathir berkata demikian ketika ditemui di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di sini hari ini.

PROTON yang ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan modal berbayar sebanyak RM150 juta merupakan pengeluar kereta pertama Malaysia.

Penubuhannya merupakan gagasan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir untuk mencapai aspirasi negara perindustrian.

Jelas Tun Dr. Mahathir, rakyat turut dilihat tidak memperdulikan pembangunan kereta PROTON selain sanggup membiarkan industri itu mati.

"PROTON dari A sehingga Z cuba bangunkan industri tempatan. Malangnya pelanggan kita tidak peduli kalau industri ini mati."

-Proton EMAS yang dipamerkan di Geneva bakal dilancarkan-

"Mereka lebih mengutamakan harga, jenama yang terkenal, jenama asing dan itu membuatkan kita sukar melawan...namun kita cuba juga,'' katanya.

Penguasaan pasaran kereta nasional iaitu Perodua dan PROTON mengecil kepada 48 peratus setakat suku pertama 2014 disebabkan ketiadaan model-model baru yang mampu memberi impak kepada pasaran.

Pada tahun lalu, PROTON dan Perodua menguasai 51.1 peratus pasaran kereta tempatan, sementara 2012 pula sebanyak 53.3 peratus.

Jualan PROTON juga hanya 32,734 pada suku pertama tahun ini berbanding 34,343 tempoh sama tahun lalu.

Terdahulu, Tun Dr. Mahathir melancarkan penerbitan `A Un Chronicle' hasil tulisan Bekas Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1989 sehingga 1990, Tan Sri Razali Ismail.

Buku itu mengisahkan suka duka Razali semasa menjadi diplomat negara sepanjang kariernya berkhidmat di persada antarabangsa.

Ia turut mengandungi catatan pengalaman Razali yang pernah menjadi pengerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari 1996 hingga 1997.

Sumber: Awani